JOHOR BAHRU 14 Okt. – Semua lapisan masyarakat, khususnya golongan muda digalakkan menceburi pertanian kerana bidang tersebut mampu memberikan hasil lumayan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal berkata, tiga sektor teras dalam pertanian, iaitu perladangan, penternakan dan perikanan mempunyai skop yang luas untuk diteroka.
“Misalnya, ramai yang sudah berjaya menjadi usahawan tani termasuk pelakon terkenal Datuk Rosyam Noor yang mempunyai ladang untuk menanam nangka dan durian belanda.
“Bagi yang berminat menceburi bidang pertanian ini, berjumpalah dengan para pegawai di jabatan atau agensi yang berkaitan. Insya-Allah kerajaan akan memberikan pelbagai bantuan kepada mereka,” katanya semasa semasa merasmikan Karnival Tani Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas di Kompleks Pasar Tani Kekal Permas Jaya, di sini semalam.
Yang turut hadir, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Alwi Anang.
Ditanya dalam sidang akhbar selepas itu, Sahruddin berkata, setiap jabatan atau agensi yang berkaitan mempunyai program tersendiri dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan tani di negeri ini.
“Misalnya, FAMA menyasarkan dapat melahirkan kira-kira 2,000 usahawan agro dalam tempoh lima tahun akan datang. Pada masa ini, FAMA negeri ini mempunyai kira-kira 1,000 peserta,” katanya.
Mengenai karnival tani selama tiga hari yang berakhir hari ini, beliau memberitahu, program tersebut bertujuan mempromosikan produk pertanian dan pada masa sama memberi peluang kepada masyarakat memperoleh barangan pada harga berpatutan.











