KUALA LUMPUR 20 Okt. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan terhadap kesemua syarikat yang terlibat dalam pendakwaan rasuah dan salah guna kuasa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, semalam.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, mana-mana syarikat yang disebutkan dalam kertas pendakwaan Ahmad Zahid tidak akan terlepas daripada disiasat.
“Kita akan menyiasat sesiapa sahaja yang dipercayai terlibat dalam kes ini. Ada syarikat yang mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak terlibat dalam sebarang kes rasuah… Itu terpulang kepada mereka.
“Pengesahan hanya daripada pihak SPRM. Jika siasatan menunjukkan mereka tidak terlibat dalam sebarang kes rasuah, jadi mereka tidak bersalah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di sini hari ini.
Terdahulu, Azam menyaksikan sesi tandatangan IBR yang diwakili oleh Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.
Semalam, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap 45 pertuduhan pecah amanah, menerima rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit antara 2014 dan April lalu.
Antara syarikat dan entiti yang tersenarai dalam kertas pendakwaan tersebut adalah Yayasan Akalbudi, MyEG Services Sdn. Bhd.
MyEG dan Lembaga Pengarahnya bagaimanapun memaklumkan syarikat tersebut tidak disiasat atau menjadi pihak yang terlibat dalam siasatan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.-UTUSAN ONLINE










