KUALA LUMPUR 30 Okt. – Penangguhan dan pemberhentian projek penyelenggaraan oleh kerajaan Pakatan Harapan yang jelas memberi kesan kepada kontraktor bumiputera hanya bersifat sementara.
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, perkara itu merupakan proses ke arah menstabilkan semula pentadbiran di mana kerajaan sedang dalam usaha untuk mengenal pasti kontrak-kontrak yang diberikan oleh pentadbiran terdahulu secara tidak telus.
“Kita lihat ada sebahagian kontrak-kontrak diberi begitu sahaja secara rundingan terus atau sebagai seorang yang rapat dengan orang yang berkepentingan kuasa politik.
“Boleh saya nyatakan di sini ia hanya sementara. Dalam masa terdekat kita akan bangunkan semula aktiviti ekonomi supaya mereka dapat kembali membangunkan perniagaan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) Biz Challenge 2018 di Mercu UEM di sini, hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi PUNB, Datuk Hazimah Zainuddin dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Jammi Abdul Karim. – UTUSAN ONLINE










