PULAU PINANG 25 Okt. – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal bersetuju dengan saranan supaya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bercuti sementara daripada menjalankan tugas Presiden parti.

Ketuanya, Mohd. Norhiesam Ismail berkata, tindakan itu bagi membolehkan Ahmad Zahid menumpukan usaha membersihkan namanya di mahkamah atas 45 pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa.
Pada masa sama, katanya, Pemuda UMNO bahagian berkenaan bersimpati terhadap Ahmad Zahid.
“Bagaimanapun, kami yakin beliau seorang yang berjiwa besar dan mungkin tindakan (bercuti) juga perlu dipertimbangankan demi kelangsungan UMNO,” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Norhiesam berkata, beliau percaya seseorang itu tidak boleh disifatkan bersalah selagi perbicaan dan keputusan mahkamah belum dibuat.
Hari ini, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki menggesa bekas Timbalan Perdana Menteri itu bercuti daripada menjalankan tugas sebagai Presiden parti sehingga kes mahkamah membabitkan beliau selesai. – UTUSAN ONLINE










