KOTA BHARU 26 Okt. – UMNO gagal menjadi sebuah parti politik yang terbuka jika satu pandangan yang dikemukakan menjadi perbalahan dalam kalangan pemimpinnya.

Exco Pemuda UMNO, Nik Saiful Adli Burhan berkata, nasihat supaya Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bercuti semalam merupakan satu bentuk pandangan yang dipersetujui bersama selepas Pemuda UMNO bermesyuarat.
Maka katanya, terserah kepada MKT untuk mempertimbangkan padangan itu kerana mereka lebih layak menasihati Presiden manakala Pemuda UMNO akan menghormati apa jua keputusan dibuat pucuk pimpinan parti.
“Saya menyeru semua pihak untuk sama-sama menghormati setiap pandangan dan terpulanglah kepada tuan punya badan untuk membuat keputusan. Pemuda UMNO sentiasa berada di sisi Presiden untuk menyuarakan pandangan yang ikhlas, bukan untuk mengampu semata-mata.
“Jika satu pandangan pun boleh membawa perbalahan, maka amat gagal UMNO menjadi parti yang terbuka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Semalam, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan menasihatkan Ahmad Zahid supaya bercuti ekoran beliau kini berdepan dengan 45 tuduhan rasuah dan pecah amanah.
Susulan itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mencabar Asyraf Wajdi meletak jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO kerana mendakwa beliau gagal mempertahankan Presiden.
Nik Saiful Adli yang juga Pengerusi Kluster Perundangan, Kehakiman dan Reformasi Parlimen Pemuda UMNO berkata, adalah tidak adil untuk mana-mana pihak mengkritik atau memaki hamun Asyraf Wajdi semata-mata kerana berbeza pandangan.
“Saya berada di dalam mesyuarat Pemuda UMNO semalam dan bertanggungjawab bagi Biro Undang-undang Pemuda untuk memberi penjelasan kepada Exco-Exco dan Ketua Pemuda UMNO negeri-negeri mengenai 45 tuduhan yang dihadapi oleh Presiden UMNO dari sudut perundangan.
“Atas penjelasan tersebut, semua faham bahawa meskipun kebanyakan tuduhan tidak berasas, perjalanan kes mungkin akan mengheret masa yang amat panjang, melihat kepada keadaan pihak Pendakwaan yang membuat tuduhan sebegitu banyak dalam keadaan tidak penuh bersedia,” katanya.
Nik Saiful Adli menambah, banyak masa bakal terbuang dan UMNO dikhuatiri hilang fokus jika sibuk menepis dosa-dosa lama yang mungkin fitnah dan dalam masa sama, tidak membuat apa-apa gerakan memulihkan kepercayaan rakyat kepada parti. – UTUSAN ONLINE









