KUALA TERENGGANU 27 Okt. – Pemuda UMNO negeri menghormati kredibiliti Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden parti dan akan sentiasa berada di sisi pemimpin itu walaupun wujud perselisihan pandangan berhubung kedudukan beliau.

Ketuanya, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, pandangan yang dikemukakan kepemimpinan tertinggi sayap itu kelmarin bukanlah berniat untuk menurunkan Ahmad Zahid daripada UMNO seperti mana tanggapan sesetengah pihak sebaliknya hanya cadangan ke arah memperkasakan parti.
Katanya, tindakan berkenaan bukan sesuatu yang luar biasa terutama dalam proses mengukuhkan kedudukan UMNO sebagai pembangkang.
“Saya sudah bercakap dengan presiden semasa perjumpaan semalam. Hakikat sebenar adalah kita sayangkan parti dan melihat keadaan ini sebagai satu proses pentadbiran dalam UMNO.
“Apa yang Pemuda cadangkan itu adalah persetujuan bersama yang secara teras dan prinsipnya untuk memperkasakan parti. Pemuda Terengganu menghormati presiden yang telah dipilh melalui proses demokrasi dan menang, dan kita tetap mengatakan beliau Presiden kita,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan menasihatkan Ahmad Zahid supaya bercuti ekoran beliau kini berdepan dengan 45 tuduhan rasuah dan pecah amanah.
Susulan itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mencabar Asyraf Wajdi meletak jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO kerana mendakwa beliau gagal mempertahankan Presiden.
Ahmad Zahid pula menegaskan yang beliau tidak akan berganjak daripada menggalas tanggungjawabnya sebagai Presiden UMNO dan tunduk kepada desakan atau gesaan mana-mana pihak supaya beliau mengambil cuti seketika sehingga kes pertuduhan terhadapnya di mahkamah selesai.- UTUSAN ONLINE










