KUALA LUMPUR 27 Okt. – Unit Keselamatan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menahan seorang lelaki disyaki suspek kes gangguan seksual di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Universiti, Petaling Jaya dekat sini, semalam.
Prasarana dalam satu kenyataan dalam akaun laman sosial Facebook memberitahu, suspek berusia 27 tahun itu berkelakuan lucah di dalam sebuah LRT dihadapan seorang wanita ketika tren tersebut dalam perjalanan ke stesen Universiti dari Kelana Jaya.
“Suspek ditahan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini.
Terdahulu, pada 25 Oktober lalu satu rakaman video berdurasi 20 saat tular dalam laman sosial yang menunjukkan suspek seperti seolah-olah melakukan perbuatan lucah di hadapan seorang wanita dalam sebuah gerabak LRT.
Difahamkan suspek kini ditahan reman selama tiga hari bermula semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din mengesahkan kejadian dan enggan mengulas lanjut. – UTUSAN ONLINE










