SABAN tahun menjelang final Piala Malaysia, isu penjualan tiket terus mencetuskan kontroversi sehingga menimbulkan kemarahan dan kekecewaan dalam kalangan peminat bola sepak. Sukar untuk mempercayai bahawa tiket menyaksikan perlawanan habis dijual dalam tempoh amat singkat seperti yang berlaku di Stadium Perak dan Kuala Terengganu.
Pelik dan ajaib, bagaimana tiket yang dijual boleh habis terlalu awal. Isu yang berlaku bukannya perkara baharu kerana ia berulang saban tahun. Dulu masalah berebut-rebut ini hanya berlaku ketika mahu membeli tiket di panggung wayang sebelum tahun 1980-an. Jika ada filem bagus seperti filem Hindustan Bobby, ‘ulat-ulat’ memonopoli tiket melalui pintu belakang dan menjualnya semula dengan harga berlipat kali ganda. Jika persatuan bola sepak negeri mahu menangani isu ini sebenarnya cukup mudah. Mereka boleh memantaunya dari peringkat awal lagi termasuk ketika tiket dijual di stadium.
Isu ini tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana persatuan bola sepak kerana ia melibatkan soal penganiayaan kepada penyokong kerana banyak daripada mereka datang dari jauh hanya untuk membeli tiket. Laporan polis perlu dilakukan jika isu serupa masih berulang dan biar polis mendedahkan siapakah dalang di sebalik isu tiket ini.
P/S: Tak suka berebut…










