Peminat aktiviti lasak didedah teknik menyelamat dalam gua - Utusan Malaysia

Peminat aktiviti lasak didedah teknik menyelamat dalam gua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 30 Okt. – Mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku di Gua Tham Luang Nang Non, Thailand, Julai lalu, Pertubuhan Nadi Sihat (Nadi Sihat) baru-baru ini, menganjurkan Ekspedisi Dan Simulasi Menyelamat Di Gua Wang Burma, Perlis.

Program diberi nama EKSIM@GUA2018 selama dua hari itu mendedahkan kepada para pesertanya yang terdiri daripada peminat aktiviti luar berhubung simulasi menyelamat serta tahap kesiapsagaan agensi-agensi penyelamat.

Menurut Presiden Nadi Sihat, Azlina Abdul Aziz, para peserta diberi taklimat khas oleh Jabatan Bomba Dan Penyelamat sebelum melakukan ekspidisi pendakian menuju ke Gua Wang Burma sete­rusnya melakukan simulasi menyelamat di dalam gua bersama agensi-agensi terlibat.

Ujarnya, simulasi itu dimulakan dengan menggambarkan senario yang mana para peserta terperangkap di dalam gua dengan paras sungai yang melalui kawasan gua tersebut semakin tinggi.

“Terdapat mangsa yang me­ngalami kecederaan yang serius dan tidak dapat berjalan dan salah seorang yang melihat kejadian telah menghubungi pasukan keselamatan untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Menurut Azlina, pasukan bomba dan penyelamat menerusi Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) membuat pelbagai teknik penyelamatan antaranya teknik usungan dalam gua, pengurusan mang­sa, menyelam dan Helicopter winching untuk mengeluarkan mangsa dari tempat kejadian.

Jelasnya, kejadian itu akhir­nya dapat ditangani apabila semua mangsa yang terpe­rangkap dibawa turun dengan selamat dan mangsa yang cede­ra dihantar ke hospital menaiki ambulans.

“Pasukan perubatan dari hospital berdekatan turut berada di tempat kejadian dan memberikan rawatan kepada mangsa yang mengalami kecederaan.

“Objektif ekspidisi ini adalah untuk mempraktikkan respon para peserta apabila berdepan insiden yang tidak dijangka dan secara tidak langsung melatih pasukan-pasukan yang terlibat terhadap prosedur bantuan kemanusiaan sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN