Pemimpin UMNO jumpa Muhyiddin - Utusan Malaysia

Pemimpin UMNO jumpa Muhyiddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGKAK 27 Okt. – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muh­yiddin Yassin mendedahkan, beberapa pemimpin tertinggi UMNO termasuk Ahli Parlimen ada berjumpa dengannya bertanyakan soal parti.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, mereka tidak membuat apa-apa keputusan sama ada mahu menyertai Bersatu atau sebaliknya.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, Bersatu seperti awal-awal lagi terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat termasuk dari UMNO sama ada mereka yang berjawatan atau ahli biasa.

“Walaupun dalam kalangan mereka (UMNO) ada beberapa yang berjumpa dengan saya tetapi saya tak boleh sebut namanya, (mereka) berjumpa saya untuk mendapatkan penjelasan dan dasar parti.

“Tetapi yang penting penyertaan mereka akan menguatkan lagi parti kita, perjuangan kita serta mengukuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana itulah yang menjadi keutamaan kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan bersama pemimpin tempatan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tangkak, Ee Chin Li; ADUN Serom, Dr. Faizul Amri Adnan dan Ketua Polis daerah, Superintenden Mohad Idris Samsuri.

Sementara itu, ketika ditanya berapa ramai pemimpin UMNO yang berjumpa dengan beliau, Muhyiddin hanya menghitung jari-jemarinya dan tersenyum tanpa mengulas lanjut mengenai perkara itu.

“Sesiapa sahaja yang berfikir mahu menerima dasar perjuangan kita amat dialu-alukan menyertai mana-mana komponen PH dan terserah kepada mereka membuat keputusan,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, beliau yakin Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed ikhlas menyertai Bersatu dan tiada apa-apa hajat termasuk mahukan jawatan tertentu dalam parti.

“Mustapa membuat keputusan berkenaan kerana yakin dengan parti selain mahu menyokong Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Namun, beliau awal-awal lagi ketika berjumpa saya menyatakan dia tiada hajat apa-apa tetapi bersedia memberikan apa sahaja demi mengukuhkan Bersatu,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN