ALOR SETAR – Seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri ini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan pembabitannya dalam politik wang pada pemilihan parti itu baru-baru ini.
Perintah tahanan reman ke atas suspek berusia 59 tahun itu yang juga salah seorang calon yang bertanding pada pemilihan PKR di peringkat cabang di negeri ini dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Alor Setar, Jamaludin Elias.
Suspek yang juga bekas calon PKR kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Pokok Sena pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu ditahan selepas menyerah diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah di sini pukul 4.10 petang semalam.
Beliau yang diiringi pegawai SPRM Kedah dibawa ke Mahkamah Alor Setar kira-kira pukul 9.35 pagi dan keluar dari mahkamah tersebut kira-kira sejam kemudian.
Sumber berkata, suspek ditahan hasil siasatan ke atas dua lelaki berusia 46 dan 48 tahun yang juga Sekretariat Jawatankuasa Pemilihan parti itu yang telah diberkas SPRM berhubung pembabitan mereka dalam kes berkenaan pada 15 September lalu.
Suspek dan dua lelaki terbabit disyaki bersuhabat meminta wang suapan berjumlah RM20,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan supaya namanya yang sudah didaftarkan untuk pemilihan parti kekal dalam sistem pemilihan bagi melayakkannya bertanding.
Suspek sebelum ini memaklumkan kepada lelaki terbabit bahawa namanya dan beberapa individu lain akan digugurkan daripada senarai nama calon namun boleh dikekalkan sekiranya membayar suapan berkenaan.
Pemilihan PKR peringkat negeri Kedah sepatutnya berlangsung pada 22 September lalu tetapi ditangguhkan pada esok dan Sabtu ini selepas berlaku kekecohan berikutan masalah sistem e-undi dalam pemilihan tersebut.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan reman ke atas suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – K! ONLINE










