ALOR SETAR – Seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri ini yang direman bagi membantu siasatan pembabitannya dalam politik wang untuk pemilihan pemimpin cabang parti itu baru-baru ini dibebaskan hari ini.
Majistret Nabilah Md. Ruslan membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya membebaskan suspek berusia 59 tahun yang ditahan reman sejak Khamis lalu.
Suspek dibebaskan lebih awal daripada tempoh reman yang dikenakan terhadapnya iaitu selama tujuh hari.
Dia dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain perlu melaporkan diri kepada SPRM setiap bulan.
Terdahulu, dia yang juga bekas calon PKR kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Pokok Sena pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu tiba di Kompleks Mahkamah Alor Setar kira-kira pukul 10 pagi ini dengan diiringi pegawai SPRM.
Difahamkan, suspek dipilih sebagai ketua cabang di negeri ini selepas memenangi pemilihan PKR peringkat cabang itu yang berlangsung semalam.
Suspek ditahan hasil siasatan ke atas dua lelaki berusia 46 dan 48 tahun yang merupakan Sekretariat Jawatankuasa Pemilihan parti itu yang telah diberkas SPRM berhubung pembabitan mereka dalam kes berkenaan pada 15 September lalu.
Dia dan dua lelaki terbabit disyaki bersubahat meminta wang suapan berjumlah RM20,000 daripada seorang individu sebagai dorongan supaya namanya yang sudah didaftarkan untuk pemilihan parti kekal dalam sistem pemilihan bagi melayakkannya bertanding. – K! ONLINE










