Pemimpin bercuti jika didakwa SOP lama UMNO - Utusan Malaysia

Pemimpin bercuti jika didakwa SOP lama UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 21 Okt. – Pemimpin UMNO perlu bercuti jika didakwa di mahkamah merupakan prosedur operasi standard (SOP) lama dalam parti ketika UMNO yang menerajui Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib berkata, SOP pada tahun 2009 itu dibuat sebagai langkah untuk menjaga integriti parti itu dan BN yang memerintah ketika pendakwaan dibuat oleh pihak kerajaan.

Menurutnya, namun selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kerajaan sudah bertukar tangan dan UMNO kini bukan lagi pemerintah.

Katanya, pemimpin UMNO kini berdepan dengan pelbagai tuduhan dan pendakwaan daripada kerajaan baharu, rata-ratanya pendakwaan bermotif politik terhadap pemimpinnya dengan tujuan mahu menghancurkan sama sekali UMNO.

“Oleh itu, bercuti daripada jawatannya sebagai Presiden UMNO bukan pilihan terbaik bagi Datuk Seri Ahmad Zahid yang kini didakwa di mahkamah kerana beliau merupakan Presiden yang telah dipilih oleh akar umbi parti.

“Apatah lagi ketika UMNO berada di blok pembangkang yang nyawanya masih bugar berbanding sebuah parti kerajaan yang hanya menguasai 13 kerusi dalam PRU-14,” katanya hari ini.

Mohd. Khusairi yang merupakan bekas wartawan turut kesal apabila portal berita Malaysiakini kelmarin melaporkan berita bertajuk ‘Zahid mungkin perlu bercuti’, kononnya memetik temubual dengan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Menurutnya, namun berdasarkan perbualan menerusi telefon dengan Mohamad, Timbalan Presiden UMNO itu memberitahu tidak sama sekali menyebut bahawa Ahmad Zahid mungkin perlu bercuti sebagaimana tajuk berita yang disiarkan.

Kata beliau, apa yang dinyatakan secara umum oleh  Mohamad ialah SOP parti pada 2009 memerlukan pemimpin UMNO bercuti jika berdepan tuduhan di mahkamah ketika UMNO dan BN menjadi kerajaan.

“Wartawan selaku pelapor yang berintegriti sepatutnya meletakkan kenyataan ‘Tok Mat’ mahu membawa isu ini ke mesyuarat pengurusan dan memutuskannya di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO sebagai tajuk beritanya.

“Sebaliknya disebabkan sikap tidak berintegriti, wartawan berkenaan meletakkan tajuk yang tidak disebut pun oleh ‘Tok Mat’ dalam temubual itu,” katanya.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN