LEICESTER 29 Okt. – Pemilik kelab bola sepak Leicester City, Vichai Srivaddhanaprabha disahkan maut dalam nahas helikopter yang terhempas di kawasan tempat letak kereta berhampiran stadium King Power selepas menyaksikan perlawanan Liga Perdana Inggeris melibatkan pasukan tersebut menentang West Ham United kelmarin.
Para peminat Leicester meletakkan bunga, skaf kelab berkenaan dan berdoa di luar stadium tersebut sebagai tanda memperingati Vichai.
Vichai dikenang oleh peminat Leicester selepas membantu kelab terbabit menjuarai Liga Perdana England pada 2016.
“Dunia kehilangan seorang insan yang hebat. Leicester City merupakan sebuah keluarga di bawah pimpinannya.
“Sebagai keluarganya, kami meratapi pemergiannya dan kekal memperjuangkan visi untuk kelab yang kini menjadi peninggalannya,” kata kenyataan dikeluarkan oleh kelab tersebut.
Susulan pemergian Vichai, kelab berkenaan menangguhkan perlawanan Piala EFL bertemu Southampton esok.
Selain Vichai, mangsa yang terkorban dalam nahas terbabit ialah kakitangan Vichai, Nursara Suknamai dan Kaveporn Punpare; juruterbang, Eric Swaffer serta penumpang, Izabela Roza Lechowicz.
“Sukar mengungkapkan perkataan sesuai tetapi bagi saya, anda adalah lagenda, lelaki hebat yang mempunyai hati, jiwa Leicester City,” ujar penyerang kelab tersebut, Jamie Vardy menerusi Instagram. – AFP










