KUALA LUMPUR 24 Okt. – Pemilihan PKR tidak perlu dilakukan semula di Negeri Sembilan dan Melaka susulan isu kehilangan undi, minggu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Rashid Din berkata, sebaliknya jawatankuasa itu sedang mempertimbangkan beberapa alternatif yang boleh diguna pakai bagi menyelesaikan masalah tersebut.
Antara alternatif berkenaan jelasnya, adalah dengan memanggil ahli yang undi mereka didakwa hilang di enam cawangan untuk mengundi semula.
“Kita ada beberapa alternatif tetapi pemilihan semula tidak akan dilakukan.
“Kalau ada pun, kita akan buat di kawasan tertentu sahaja. Mungkin kita akan panggil orang yang undi hilang untuk dia mengundi sekali lagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Pada 20 Oktober lalu, undi di lima cawangan PKR Melaka dan satu cawangan Negeri Sembilan gagal dikesan sehingga menyebabkan keputusan akhir tidak dapat diumumkan.
Rashid mendakwa, masalah tersebut berlaku kerana wujud gangguan kecil atau kerosakan rawak di dua negeri terbabit dan pasukan teknikal diberikan masa 24 jam untuk menyiasat. – UTUSAN ONLINE











