ALOR SETAR 26 Okt. – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menewaskan Pengerusi PKR Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada pemilihan parti itu bagi Cabang Alor Setar, di sini hari ini.
Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan berjaya mendahului dalam persaingan merebut jawatan timbalan presiden PKR dengan memperoleh 169 undi manakala Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi hanya mengumpul 37 undi.
Bagi jawatan Naib Presiden, perwakilan memilih Nurul Izzah Anwar dengan 275 undi, Datuk Johari Abdul (225), William Leong Jee Keen (224)), S. Kesavan (140) dan Chua Tian Chang (97).
Dalam pada itu, saingan bagi Ketua Cabang Alor Setar menyaksikan Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Kedah, Zamri Yusof menewaskan pencabarnya, Ahli Jawatankuasa PKR Cabang Alor Setar, Ismail Feisol.
Zamri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti memperoleh undi sebanyak 161 mendahului Ismail yang mendapat 150 undi. – UTUSAN ONLINE










