KUBANG PASU 26 Okt. – Jumlah peratusan ahli parti yang keluar mengundi di cabang ini mencatatkan peratusan yang agak rendah setakat pukul 12 tengah hari tadi.
Ketua Pengawas Pusat Pengundian Cabang Kubang Pasu, Mohamad Tarmizy Mohd. Lutfi berkata, hanya 9.72 peratus atau 205 daripada 2109 ahli yang layak mengundi, telah menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam tempoh dua jam pusat pengundian dibuka.
“Kami menjangkakan akan ada sekurang-kurangnya 900 pengundi yang menunaikan tanggungjawab di sini.
“Mungkin mereka akan datang selepas solat Jumaat,” katanya kepada pemberita di Dewan Kolej Heights Utara di sini hari ini.
Mengulas mengenai suasana pengundian yang tenang berbanding 22 September lalu, Mohd. Tarmizy berkata, beliau mengharapkan supaya suasana harmoni itu berkekalan hingga ke akhir.
“Kami telah memberi taklimat kepada semua pihak terlibat supaya tidak menimbulkan kekecohan.
“Adat pertandingan, sudah tentu ada persaingan. Namun semuanya masih di bawah satu bumbung dan tidak ada sebab untuk kita saling bercakaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE










