KUANTAN 5 Okt. – Kira-kira 33,000 ahli PKR daripada 14 cabang di negeri ini dinasihatkan supaya mengekalkan disiplin dan mengikut garis panduan yang ditetapkan ketika menunaikan tanggungjawab memilih kepemimpinan parti itu esok.

Pengerusi PKR negeri, Datuk Fauzi Abdul Rahman berkata, bagi memastikan kelancaran sepanjang proses pemilihan itu, pihaknya mendapatkan bantuan polis untuk kawalan keselamatan.
“Saya percaya proses pemilihan berjalan lancar. Jika berlaku kekecohan, saya anggap mereka yang mencetuskannya adalah dibayar untuk berbuat demikian,” katanya di sini hari ini.
Fauzi juga menasihatkan semua ahli supaya membuat pilihan terbaik dengan memilih pemimpin yang mampu melaksanakan tanggungjawab dan kembali bersatu selepas proses pemilihan berakhir tanpa mengira calon mana yang memenangi jawatan dipertandingkan.
“Bak kata pepatah ‘biduk lalu, kiambang bertaut’. Jika ini dapat dilakukan ia menunjukkan ahli PKR adalah matang dan parti akan menjadi bertambah kuat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya Negeri (JPRN) PKR Pahang, Adnan Lazim memberitahu, proses pengundian pemilihan kepemimpinan PKR bagi negeri ini bermula pada pukul 10 pagi hingga 5 petang esok.
Katanya, keputusan pengundian dijangka diketahui seawal pukul 6 petang dan akan dimaklumkan di pusat mengundi setiap cabang selain maklumat terkini keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dipaparkan di portal www.pemilihankeadilan2018.com dari semasa ke semasa. – UTUSAN ONLINE











