KUALA LUMPUR 21 Okt. – Calon Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin meluahkan rasa kesalnya apabila mendakwa ada calon-calon dalam pemilihan parti dilihat seperti mengambil kesempatan terhadap golongan warga emas untuk meraih undi.
Dakwanya, segelintir calon mengambil kesempatan terhadap kenaifan golongan tua yang tidak begitu mengenali siapakah pemimpin yang bertanding, namun tetap dibawa ke pusat pengundian.
“Ini menunjukkan masih ada kelemahan (pemilihan PKR). Dari segi kematangan, ia tidak dicapai,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan lawatan ke pusat pengundian Cabang Puchong di Dewan Serbaguna Serdang Jaya, Seri Kembangan dekat sini hari ini.
Pemilihan PKR di Cabang Puchong membabitkan 17,149 ahli parti yang layak mengundi.
Pemilihan PKR peringkat kedua di Selangor hari ini secara terkumpul melibatkan lebih 83,000 ahli di tujuh Cabang di negeri tersebut.
Berdasarkan pemerhatian, beberapa ahli parti yang merupakan warga emas, ramai yang pulang tanpa mengundi kerana tidak sanggup beratur panjang di bawah cuaca yang panas terik.
Zuraida yang berada dalam kem calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada masa sama yakin, pengundian hari ini akan tetap berpihak kepada Mohamed Azmin.-UTUSAN ONLINE









