MELAKA 25 Okt. – Calon Ketua Cabang PKR Alor Gajah, Ginie Lim Siew Lin mengakui masalah kelewatan pengumuman keputusan Pemilihan PKR negeri yang diadakan pada Sabtu lalu memberi kesan yang tidak baik terhadap ketelusan dan kecekapan parti itu.

Namun kata beliau, pihaknya berharap agar masalah teknikal yang dihadapi itu tidak mematahkan semangat semua ahli PKR khususnya di negeri ini yang menunjukkan komitmen tinggi dengan keluar mengundi pada hari itu.
“Kita masih menunggu keputusan pemilihan yang akan diumumkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP). Kelewatan ini sepatutnya tidak berlaku kerana ahli kita telah menunjukkan komitmen tinggi iaitu keluar mengundi dan ini memberi persepsi tidak baik tentang kecekapan dan ketelusan kita.
“Apa pun kita akan akur keputusan yang diumumkan nanti dan berharap masalah ini selesai supaya tiada pemilihan semula kerana ia melibatkan kos, tenaga dan masa yang banyak,” katanya
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga, Hal Ehwal Kebajikan dan Orang Asli negeri ditemui selepas menghadiri kempen menangani keganasan terhadap wanita ‘End Violence Against Women and Girls’ (EVAW) anjuran Pejabat Pembangunan Wanita negeri, di sini hari ini.
Pengerusi JPP PKR, Datuk Rashid Din semalam memberitahu, pemilihan PKR tidak perlu dilakukan semula di Negeri Sembilan dan Melaka susulan isu kehilangan undi dan jawatankuasa itu sedang mempertimbangkan beberapa alternatif yang boleh diguna pakai bagi menyelesaikan masalah tersebut.
Pemilihan di lima cawangan PKR Melaka dan satu cawangan Negeri Sembilan gagal dikesan sehingga menyebabkan keputusan akhir tidak dapat diumumkan.
Masalah tersebut berlaku kerana wujud gangguan kecil atau kerosakan rawak di dua negeri terbabit dan pasukan teknikal diberikan masa 24 jam untuk menyiasat. – UTUSAN ONLINE











