POKOK SENA 26 Okt. – Sokongan ahli Cabang Pokok Sena terhadap Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli kukuh apabila beliau menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti, di sini hari ini.
Rafizi memperoleh 107 undi sementara Mohamed Azmin pula hanya 71 undi ketika keputusan tersebut diumumkan oleh ketua pengawas pusat pengundian berkenaan kira-kira pukul 6.30 petang tadi.
Bagi jawatan Naib Presiden, perwakilan memilih Nurul Izzah Anwar dengan 149 undi, Datuk Johari Abdul (144), S. Kesavan (130) dan William Leong Jee Keen (129).
Dalam pada itu, penguasaan kem Rafizi turut terserlah di peringkat cabang yang menyaksikan Setiausaha PKR negeri, Che Mat Dzaher Ahmad memperoleh 152 undi mengalahkan Yahya Musa dengan 109 undi bagi jawatan Ketua Cabang.
Cabang Pokok Sena sebelum ini terpalit politik wang apabila tiga ahlinya termasuk salah seorang calon ditahan kerana disyaki rasuah sebanyak RM20,000. – UTUSAN ONLINE










