Pemilihan PKR Kedah diteruskan di semua cabang esok, lusa - Utusan Malaysia

Pemilihan PKR Kedah diteruskan di semua cabang esok, lusa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 25 Okt. – Di sebalik dakwaan politik wang membabitkan salah seorang calon yang bertanding dalam Pemilihan PKR Kedah, proses pengundiannya akan diteruskan buat kali kedua di semua cabang negeri ini pada Jumaat (esok) dan Sabtu ini.

DR. AZMAN ISMAIL
DR. AZMAN ISMAIL 

Malah kata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Kedah, Dr. Azman Ismail berkata, pihaknya juga membuat persediaan lengkap bagi memastikan insiden kekecohan tidak berulang seperti 22 September lepas.

“Berhubung dengan dakwaan rasuah itu pemilihan di cabang yang terlibat akan diteruskan dan keputusan tentang pemilihan itu akan ditentukan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) kelak.

“Insya Allah pemilihan kali ini akan berjalan sebagaimana dirancang. JPP akan memastikan semua gajet dalam keadaan bersedia serta setiap cabang akan menambah petugas menjaga ketenteraman pengundi, ” katanya di sini hari ini.

SPRM menahan reman hari ini seorang calon Ketua Cabang negeri ini bagi membantu siasatan berhubung politik wang berjumlah RM20,000.

Suspek yang pernah menjadi calon PKR dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ditahan semalam kerana disyaki bersubahat dengan dua lagi lelaki yang disiasat SPRM sebelum ini dipercayai meminta RM20,000 daripada seorang calon ketua cabang negeri bagi membolehkannya bertanding dalam pemilihan itu pada 22 September lepas.

Pemilihan PKR Kedah kali kedua dijadual berlangsung esok membabitkan Cabang Langkawi, Jerlun, Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena, Alor Setar, Kuala Kedah, Pendang, Sik dan Baling.

Sementara pemilihan Cabang Jerai, Merbok, Sungai Petani, Padang Serai dan Kulim Bandar Baharu dijadualkan Sabtu.

Proses pemilihan PKR negeri pada 22 September lepas terpaksa ditangguhkan sebelum dibatal setelah berlaku kekecohan termasuk pergaduhan di beberapa cabang termasuk Merbok, Sungai Petani dan Jerai dipercayai akibat rasa tidak puas hati ahli berhubung masalah teknikal ekoran sistem e-undi yang diguna tidak berfungsi dengan sempurna. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN