Pemilihan PKR, Cabang Merbok pilih Rafizi - Utusan Malaysia

Pemilihan PKR, Cabang Merbok pilih Rafizi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERBOK 27 Okt. – Keputusan Pemilihan PKR Cabang Merbok menyaksikan Rafizi Ramli menewaskan penyandang jawatan tersebut, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan perbezaan 162 undi.

Menerusi keputusan yang diumumkan Ketua Pengawas Pusat Pengundian, Mohd. Mokhtar Hamzah, Rafizi menerima 414 undi berbanding 252 yang diperoleh Azmin.

“Seramai 1,008 daripada 6,409 ahli yang layak mengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing bermula pukul 10 pagi hingga pukul 5 petang ini.

“Perjalanan pengundian kali ini lancar dan menjadi antara yang terbaik pernah saya kendalikan berbanding sebelum ini,” katanya ketika mengumumkan perkara tersebut.

Proses pengundian di cabang itu menjadi tumpuan setelah pemilihan pertama yang diadakan di taman tema air, The Carnival pada 22 September lalu terpaksa dihentikan setelah berlaku kekecohan sehingga memaksa pihak polis menahan beberapa individu.

Sementara itu bagi jawatan naib presiden, Nurul Izzah Anwar berada di depan setelah menerima 416 undi.

Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan berada di tempat kedua dengan 381 undi diikuti Datuk Johari Abdul yang menerima 344 undi.

Tempat keempat menjadi milik William Leong Jee Keen dengan 294 undi.

Untuk jawatan Ketua Cabang, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat India, Perpaduan dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, R. Summugam memenangi pertandingan tiga penjuru apabila menewaskan pencabar, Dr. R. Krishnamoorthy dan Zikri Md. Zain dengan majoriti 124 undi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN