Pemilihan PKR: Cabang Kubang Pasu turut pilih Rafizi - Utusan Malaysia

Pemilihan PKR: Cabang Kubang Pasu turut pilih Rafizi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU 26 Okt. – Pemilihan PKR Cabang Kubang Pasu di sini menyaksikan Rafizi Ramli menewaskan Pengerusi PKR Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan perbezaan 80 undi.

Rafizi yang mengetuai kem reformasi berjaya memperolehi 216 undi sementara Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi sekadar meraih 136 undi.

Seramai 591 atau 28.02 peratus daripada keseluruhan 2,109 ahli di cabang itu menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk mengundi pada pemilihan kali ini.

Sementara itu kem Rafizi dilihat turut mendominasi jawatan bagi kerusi Naib Presiden dengan Nurul Izzah Anwar memperoleh undi tertinggi sebanyak 286.

Ahli Parlimen Sungai Petani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Johari Abdul berada di tempat kedua dengan undi sebanyak 258 diikuti S. Kesavan (230 undi) dan William Leong Jee Keen (220 undi).

‘Wanita besi’ dari kem Azmin, Zuraida Kamaruddin sekadar berada di tempat kelima dengan 176 undi diikuti Tian Chua yang memperoleh 171 undi.

Bagi pemilihan di peringkat cabang, penyandang jawatan ketua cabang, Nasrul Omar Che Mansor atau lebih dikenali sebagai Haji Nasrul dalam kalangan ahli parti, berjaya mengekalkan kedudukan apabila memperoleh undi tertinggi sebanyak 250 undi.

Beliau menewaskan pencabar, Nadzariah Wahab yang mendapat 169 undi dan pengasas PKR Kubang Pasu, Che On Yusof yang hanya memperoleh 67 undi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN