KUALA LUMPUR 28 Okt. – Pemilihan PKR Cabang Ampang terpaksa ditangguh selama 50 minit gara-gara sistem pengundian dalam talian yang digunakan mengalami masalah teknikal.
Calon Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya difahamkan, masalah berlaku apabila tablet yang digunakan untuk mengundi menggunakan sistem pengundian pemilihan di Tapah, Perak dan bukannya Ampang.
“Saya difahamkan JPP (Jawatankuasa Pemilihan Parti) membawa sistem e-voting yang digunakan dari pemilihan PKR di Tapah.
“Jadi, kita memerlukan sedikit masa untuk melakukan ketetapan semula pada tablet berkenaan supaya selari dengan pemilihan di sini,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Nusa Bakti, di sini hari ini.
Pemilihan PKR Cabang Ampang dijangka tamat pada jam 5.50 petang dan kawasan itu memiliki 12,626 ahli.
Dalam pada itu, Zuraida yang menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Cabang PKR Ampang berkata, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan perjalanan pemilihan di kawasannya. – UTUSAN ONLINE










