Pemilihan PKR, Azmin tewaskan Rafizi di Kedah - Utusan Malaysia

Pemilihan PKR, Azmin tewaskan Rafizi di Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 27 Okt. – Laluan Rafizi Ramli untuk merampas jawatan Timbalan Presiden dari Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kian berliku dengan majoriti ahli PKR di negeri ini memilih Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu untuk terus berada di kerusi panas tersebut.

Berbaki tiga negeri iaitu Perak, Sabah dan Sarawak yang masih belum menjalankan pemilihan, Rafizi kini sekadar memperoleh 40,153 undi berbanding 41,982 yang diterima Mohamed Azmin.

Dalam pemilihan yang berlangsung di 15 cabang di Kedah semalam dan hari ini, Mohamed Azmin secara keseluruhannya mendapat 3,754 undi manakala Rafizi memperoleh 3,111 undi.

Mohamed Azmin menguasai 10 cabang iaitu Pendang, Jerlun, Padang Terap, Sik, Baling, Kuala Kedah, Jerai, Sungai Petani, Kulim Bandar Baharu dan Padang Serai manakala Rafizi menang di lima kawasan iaitu Alor Setar, Langkawi, Kubang Pasu, Pokok Sena dan Merbok.

Begitu keputusan itu masih belum dimuktamadkan dengan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) selepas ini akan menilai jumlah undi ragu.

Sementara itu di Sungai Petani, kem Reformasi 20 tahun dilihat menerima tamparan hebat apabila Ahli Parlimen selama dua penggal di situ yang dikenali sebagai pendokong kuat Rafizi, Datuk Johari Abdul gagal merampas jawatan ketua cabang dari penyandang, Robert Ling Kui Ee.

Dengan 410 undi, Johari sekadar berada di tempat ketiga di belakang Robert yang memperoleh 525 undi dan seorang lagi pencabar,  P. Ragunathan yang menerima 432 undi.

Nama Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun turut terkecuali dari berada dalam senarai tertinggi untuk pemilihan jawatan Naib Presiden di cabang itu yang menyaksikan kem Mohamed Azmin menunjukkan penguatkuasaan dengan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli,  Dr. Xavier Jayakumar menerima undi tertinggi berjumlah 836.

Bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berada di tempat kedua dengan jumlah undi 697 diikuti Zuraida Kamaruddin (517 undi) dan Shamsul Iskandar Mohd. Akin (507).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN