Pemilihan PKR, 30 peratus undi hilang - Utusan Malaysia

Pemilihan PKR, 30 peratus undi hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI 27 Okt. – Sebahagian daripada 30 peratus undi ahli PKR yang didakwa hilang pada pemilihan fasa satu di negeri ini semalam adalah disebabkan kertas undi yang tidak dikembalikan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Datuk Rashid Din berkata, pihaknya mendapati terdapat pengundi yang hadir serta mendaftar bagaimanapun tidak mengundi.

“Memang ada data kehilangan undi seperti yang dikatakan tetapi bila kita periksa sebahagiannya bukan hilang tapi disebabkan kertas undi yang tidak dikembalikan.

“Mereka cetak kod tapi mereka tak undi mungkin ada yang balik terus,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di tempat pemilihan PKR Cabang Sungai Petani di Dewan Persatuan Pendidikan Akhlak Lip Seang Kor di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan terdapat sejumlah 30 peratus undi ahli PKR Kedah didakwa hilang dari sistem pengundian pada proses pemilihan di 10 cabang parti itu di negeri ini, semalam.

Kehilangan undi tersebut didakwa berlaku dalam pemilihan di 10 cabang di negeri itu iaitu  Pendang, Jerlun, Kuala Kedah, Padang Terap, Baling, Sik, Alor Setar, Langkawi, Kubang Pasu dan Pokok Sena yang dipercayai disebabkan masalah pada sistem e-undi.

Fasa satu pemilihan PKR di negeri ini semalam menyaksikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terus mendahului dengan undi berjumlah 1,148 manakala Rafizi Ramli pula memperoleh sebanyak 1031 undi dalam perebutan jawatan timbalan presiden parti.

Dalam perkembangan sama, Rashid berkata, pihaknya menjangkakan proses pemilihan fasa dua melibatkan lima cabang terakhir iaitu Sungai Petani, Merbok, Jerai, Padang Serai dan Kulim- Bandar Bharu di negeri itu akan berjalan dengan lancar.

“Kita sudah buat persediaan terbaik dengan menambah jumlah petugas JPP dan juga tab dengan capaian internet yang baik.

“Kita juga bekerjasama dengan pihak Polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi memastikan kelancaran proses pemilihan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN