PUTRAJAYA 20 Okt. – Pemeriksaan yang dilakukan ke atas semua kapal dan bot penumpang oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) adalah mematuhi tatacara pemeriksaan yang ditetapkan, berhemah dan mesra pelanggan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, pemeriksaan itu bertujuan untuk memastikan setiap operator kapal dan bot serta para penumpang mengambil langkah-langkah keselamatan ketika melakukan sebarang aktiviti di laut.
“Pada tahun ini, sebanyak 17 pemeriksaan telah dilakukan di perairan Kedah dan Langkawi, dan satu daripada bot layar di bawah pendaftaran Langkawi International Yatch disyaki telah melakukan beberapa kesalahan melibatkan perlesenan dan keselamatan penumpang di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
“Semasa pemeriksaan dilakukan, hanya kru bot layar terbabit sahaja yang dipanggil menaiki bot peronda milik Maritim Malaysia untuk penyerahan dokumen supaya aktiviti pelancong di atas bot layar itu dapat berjalan seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Zubil menegaskan, pemeriksaan itu dilakukan dengan sopan dan tertib mengambilkira kehadiran pelancong asing dan sama sekali tiada sebarang bentuk kekerasan dilakukan.
Selepas pemeriksaan, tambahnya, bot layar itu didapati telah melakukan beberapa kesalahan, namun atas budi bicara anggota-anggota penguatkuasa Maritim Malaysia, bot layar dibenarkan untuk meneruskan aktiviti ‘sunset cruise’ sehingga tamat.
“Selepas itu, bot terbabit ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Persatuan Perniagaan Langkawi (Niagakawi) hari ini seperti dilaporkan, telah meminta Maritim Malaysia menggunakan pendekatan yang lebih mesra pelancong ketika menjalankan penguatkuasaan.
Timbalan Presidennya, Datuk Alexander Isaac berkata, perkara itu kerana tindakan Maritim Malaysia menjalankan pemeriksaan di atas kapal siar sejak kebelakangan ini menimbulkan ketakutan dalam kalangan pelancong dan boleh menjejaskan kedatangan pelawat ke Langkawi.
Mohd. Zubil menambah, sehingga ini, Maritim Malaysia belum menerima aduan ataupun cadangan daripada Niagakawi.
Oleh itu, jelasnya, Maritim Malaysia mengalu-alukan kehadiran pihak tersebut untuk ke pejabatnya bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan,
“Selaku agensi penguat kuasa maritim yang diberi tanggungjawab untuk menentukan keselamatan perairan, kapal dan para pengguna, Maritim Malaysia melaksanakan pemeriksaan rambang dari semasa ke semasa.
“Setiap pemeriksaan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang juga mengambil kira kepentingan keselamatan dan kemesraan pelanggan termasuk pelancong asing,” katanya. – UTUSAN ONLINE










