BAGAN DATUK 21 Okt. – Pembinaan Masjid At-Taqwa Baru di Parit 9 Baroh, Sungai Sumun dekat sini yang tertangguh sejak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu perlu disiapkan segera sebelum bulan Ramadan tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi berkata, kerja-kerja pembinaan masjid baharu yang bernilai RM2.7 juta itu kini 86 peratus siap.
Kata beliau, sebaik siap kelak, masjid tersebut mampu memuatkan kira-kira 800 hingga 1,000 jemaah dalam satu-satu masa.
“Sebelum ini, kerja-kerja terpaksa ditangguhkan kontraktor kerana masalah bayaran. Saya sudah bincang dengan kontraktor tentang bayaran tertunggak yang masih belum dijelaskan kerajaan selain kos-kos lain yang diperlukan.
“Keutamaan kita untuk pastikan masjid ini siap kerana hanya sedikit lagi kerja-kerja yang perlu disiapkan seperti tailing dan pemasangan karpet. Justeru, saya akan cuba mencari jalan supaya ia dapat diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat masjid tersebut di Sungai Sumun di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir Pegawai Daerah Bagan Datuk, Datuk Hamzah Husin.
Tambah Asmuni, beliau turut yakin masalah kewangan melibatkan pembinaan masjid tersebut akan selesai menjelang pembentangan Bajet 2019, bulan depan.











