INISIATIF pembestarian sekolah bagi membudayakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) terbukti berjaya apabila bilangan sekolah yang menerima penarafan Piawaian Kelayakan Sekolah Bestari (SSQS) menunjukkan peningkatan ketara.
Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ismail Musa, kesemua 298 sekolah di Wilayah Persekutuan mencapai sekurang-kurangnya penarafan tiga bintang dalam SSQS tahun 2017.
“Bilangan sekolah yang mendapat lima bintang meningkat dari 17 buah pada 2016 kepada 37 buah tahun lalu, manakala 218 sekolah mendapat empat bintang dan 43 lagi tiga bintang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Anugerah Teknologi Pendidikan dan Tokoh Nilam Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Auditorium Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) di Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Yang turut hadir, Ketua Penolong Pengarah BTP Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Zainuddin Othman; Timbalan Pengarah Pejabat Pendidikan Wilayah Keramat, Asiah Husin; Timbalan Pegawai Pejabat Pendidikan Wilayah Sentul, Radzita Radzi dan Ketua Sektor Pembestarian Sekolah BTP, Dr Suhaimi Kadir.
SSQS bermula secara manual di semua sekolah bestari dan kemudian diperluas menggunakan aplikasi berasaskan web bagi tujuan penarafan semua sekolah di seluruh negara.
Terdahulu, Zainuddin dalam ucapan alu-aluannya menyifatkan, BTP Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai urus setia inisiatif ICT pada peringkat Kementerian Pendidikan sentiasa memastikan semua murid, guru dan juruteknik mendapat manfaat dari segi khidmat bantu dan bimbingan bagi menjayakan pembestarian sekolah.
“Kami dan Pusat Kegiatan Guru Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam memperkasa dan mengoptimumkan integrasi ICT dalam pembelajaran dan pengajaran abad ke-21.
“Hal ini dapat dilihat dari segi peningkatan penarafan lima bintang SSQS yang meningkat saban tahun.
“Melalui data yang diperoleh, pencapaian Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) terbaik juga membuktikan penggunaan ICT yang optimum,” katanya lagi.
Sementara itu, majlis sama menyaksikan penyampaian 29 anugerah kepada sekolah, guru dan murid mengikut kategori.
Tokoh Nilam Bahasa Melayu Wilayah Persekutuan dimenangi murid SK Convent Sentul 1, Siti Fatimatuzzahro Saiful Bahari, manakala Amanda Khan Nazim Khan (SK Bukit Damansara) pula mengungguli kategori Bahasa Inggeris.
Kategori sekolah menengah pula dimenangi pelajar SMK Aminuddin Baki, Muhammad Aqil Aiman Putra Zainul Putra (Bahasa Melayu) dan rakannya, Laura Gayathri Muniandy (Bahasa Inggeris).









