KUALA TERENGGANU – Seorang pembantu kedai perabot dijatuhi hukuman mati mandatori oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 176.85 gram pada tiga tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zainal Azman Ab. Aziz menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Syed Muhammad Shahril Hazwan Syed Abdullah, 25, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes prima facie.
Mengikut pertuduhan, Syed Muhammad Shahril didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 176.85 g di sebuah rumah di Kampung Simpang Tok Ku di sini pada pukul 12.45 tengah hari, 28 September 2015.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Terengganu melakukan serbuan di rumah tertuduh dan menahannya.
Hasil pemeriksaan ke atas tertuduh tidak menemui apa-apa barang larangan dan anggota kemudiannya dibawa oleh tertuduh ke sebuah bilik sebelum menemui dua bungkusan berwarna kekuningan apabila menarik keluar sebuah laci dari almari pakaian milik tertuduh.
Pemeriksaan lanjut yang dijalankan mendapati kedua-dua bungkusan itu mengandungi 60 paket plastik berwarna biru dan didalamnya berisi 11,993 biji pil bercetak WY seberat hampir 1.14 kilogram dan analisa Jabatan Kimia Kuala Terengganu mengesahkan jumlah berat keseluruhan dadah jenis methamphetamine itu adalah 176.85 g.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam bela, Nordin Kassim. – K! ONLINE











