TEMERLOH 27 Okt. – Kementerian Kerja Raya melakukan pemantauan berterusan di kawasan jalan bercerun di Cameron Hinglands, dekat sini bagi memastikan keselamatan pengguna di laluan berkenaan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd. Anuar Tahir berkata, tindakan segera termasuk penutupan laluan akan dilakukan sekiranya didapati berbahaya kepada pengguna
“Kementerian Kerja Raya khususnya amat prihatin dengan keadaan dan kejadian tanah runtuh yang berlaku di kawasan bercerun di Cameron Highlands.
“Setiap daerah ada jurutera dan pegawai dan bahagian yang memantau, mereka ini akan memberi nasihat sebelum membuat sebarang keputusan termasuk menutup jalan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Ziarah Kasih anjuran Kami Anak Felda (KAF) di Felda Lakum di sini hari ini.
Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan saranan pakar Geologi dan Kejuruteraan Tanah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Ir. Dr. Ramli Nazir supaya pihak berkuasa mengubah laluan bagi pengguna yang menuju ke Pantai Timur menerusi Cameron Highlands ke jalan yang lebih selamat sehingga musim hujan reda. – UTUSAN ONLINE










