KUALA KANGSAR – Pemandu treler yang menyebabkan kematian lima individu termasuk seorang bayi dalam kemalangan tragis di Kilometer 255.3 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora di sini, direman dua hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Perintah tahanan reman terhadap lelaki tersebut selama dua hari bermula hari ini sehingga esok itu dikeluarkan Majistret Noorhidayah Mohd. Saad.
Dia disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, lelaki berusia 41 tahun yang memakai baju lokap jingga itu dibawa oleh polis memasuki mahkamah pada pukul 10.50 pagi sebelum keluar kira-kira setengah jam kemudian.
Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan, pemandu treler tersebut didapati positif mengambil syabu dan mempunyai 13 saman trafik termasuk memandu laju. – K! ONLINE








