KUALA LUMPUR 19 Okt. – Akibat tidak sempat mengelak sebuah kenderaan yang hilang kawalan, seorang pemandu teksi maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Lebuh Raya Maju Expressway (Mex) menghala ke pusat bandar berhampiran susur keluar Jalan Kuchai Lama di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, mangsa V.K. Sugumaran,46, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Turut terlibat, pemandu lori, Beh Poh Meng,30, mengalami kecederaan di kaki manakala seorang lagi mangsa Vincent Jason Lobo,41, cedera di tangan dan leher.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifli Yahya berkata, siasatan awal mendapati kes terbabit berlaku apabila kenderaan yang dipandu Vincent hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan di sebelah kanan sebelum berpusing.
“Akibat kejadian itu, kereta jenis Perodua Persona dipandu mangsa telah bertembung dengan teksi terlibat yang datang dari arah belakang.
“Berikutan perlanggaran tersebut, teksi terbabit telah berpusing sebelum melanggar sebuah lori yang berada di lorong tengah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah zulkifli, kedua-dua mangsa yang terselamat dibawa menerima rawatan di sebuah hospital di Subang Jaya, Selangor dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di sini.
Jelasnya, ketika kejadian keadaan cuaca baik dengan jalan raya berkenaan juga berada dalam keadaan kering.
“Tiada rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) ditemukan dilokasi dan saksi bebas juga tidak dapat di kesan sehingga kini.
“Sehubungan itu, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.










