Pemandu teksi Langkawi kecewa Tun M gagal tunai janji hapus Grab - Utusan Malaysia

Pemandu teksi Langkawi kecewa Tun M gagal tunai janji hapus Grab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Para pemandu teksi di Langkawi mendakwa mereka kecewa apabila Perdana Menteri gagal menunaikan janji menghapuskan perkhidmatan e-hailing iaitu Grab di pulau peranginan ini selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Bekas Yang Dipertua Persatuan Pemandu dan Tuan Empunya Kereta Sewa Daerah Langkawi, Ramli Ahmad berkata, pemandu teksi terbabit sebenarnya lebih terguris hati apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan Grab tidak akan dihapuskan pada sesi dialog di sebuah hotel di sini semalam.

Ini kerana, menurutnya, pendapatan mereka telah terjejas lebih 80 peratus dan mereka menghadapi kesempitan hidup yang teruk selepas Grab beroperasi di Langkawi. 

“Pemandu-pemandu teksi yang hadir pada sesi dialog tersebut mengharapkan Perdana Menteri akan mengumumkan berita gembira menamatkan perkhidmatan Grab di Langkawi seperti yang dijanjikan pada kempen PRU-14 lalu.

“Bagaimanapun Perdana Menteri sekadar menyatakan kerajaan akan mencari mekanisme terbaik untuk memastikan persaingan sihat antara pemandu teksi dan Grab,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ramli berkata, kegagalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi menunaikan janji menghapuskan Grab menyebabkan terdapat sekumpulan pemandu teksi  yang hadir pada sesi dialog itu bertindak keluar dewan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, beliau kesal apabila terdapat pihak luar yang tidak mengetahui nasib yang menimpa pemandu teksi terbabit seolah-olah menyalahkan  pihak pemandu teksi sahaja dalam kejadian itu.

“Pemandu teksi itu bertindak keluar dewan bukan mahu menunjukkan sikap biadab dengan Perdana Menteri  sebaliknya mereka mahu masalah yang mereka hadapi diberi perhatian serius,” katanya.

Selain itu, Ramli memberitahu, beliau juga menolak dakwaan terdapat pihak lain yang mendalangi tindakan pemandu teksi yang mencetuskan kekecohan kecil pada sesi dialog tersebut.

Kosmo! hari ini melaporkan Mahathir meluahkan hasrat meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas terguris hati dengan perbuatan segelintir pemandu teksi pada sesi dialog di Langkawi Lagoon di sini semalam.

Mahathir dipercayai meluahkan hasrat itu selepas kecewa dengan sekumpulan pemandu teksi yang mencetuskan kekecohan kecil sebelum bertindak keluar dewan pada majlis dialog itu. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN