JASIN 20 Okt. – Seorang penagih dadah yang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis cedera parah selepas kenderaan dipandunya terbabas dan merempuh tembok sebuah rumah di Taman Debunga, Merlimau di sini awal pagi ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi ketika suspek lelaki yang berusia 30 tahun dari Cheras, Kuala Lumpur itu dikesan oleh sepasukan polis yang menjalankan rondaan menaiki sebuah kereta berhampiran sebuah masjid di Kampung Simpang.
Menurut Ketua Polis Daerah, Superintenden Arshad Abu, anggota peronda polis terserempak dengan suspek yang memandu kereta jenis Proton Wira seorang diri dalam keadaan mencurigakan sebelum mengarahkannya berhenti.
Bagaimanapun katanya, suspek tidak mengendahkan arahan itu sebaliknya terus memecut kenderaannya ke arah Taman Debunga.
“Sebaik sahaja dikejar, kereta dipandu suspek gagal dikawal lalu hilang kawalan sebelum terbabas melanggar sebuah kenderaan jenis Naza Ria yang diletakkan di hadapan rumah dan tembok rumah di taman berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurut beliau, polis kemudian menemukan tiga paket dadah dipercayai heroin dan sebilah sabit di dalam kereta yang dipandu suspek.
Katanya, suspek yang mengalami kecederaan parah dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan dan ditahan untuk siasatan lanjut.
“Hasil ujian air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis syabu. Dia juga memiliki 22 rekod jenayah berkaitan dadah dan jenayah selain turut dikehendaki polis,” kata Arshad.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 39 (A)(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6 (1) Akta Barang Hakisan dan Senjata Berbahaya. – UTUSAN ONLINE










