JASIN – Seorang pemandu kereta parah selepas kereta yang dipandunya terbabas dan melanggar tembok rumah ketika melarikan diri daripada polis di Taman Debunga, Merlimau di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 6.30 pagi itu, suspek yang berusia 30 tahun dari Cheras, Kuala Lumpur dapat diberkas polis dan pemeriksaan lanjut menemui tiga paket dadah jenis heroin di dalam kereta jenis Proton Wira yang dipandunya.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, sebelum kejadian sepasukan anggota polis yang melakukan rondaan terserempak dengan kereta suspek yang dipandu dalam keadaan mencurigakan berhampiran masjid Kampung Simpang.
“Anggota polis mengarahkan suspek berhenti namun tidak diendahkan malah dia memecut menghala ke Taman Debunga.
“Kenderaan tersebut bagaimanapun hilang kawalan sebelum terbabas melanggar sebuah kenderaan jenis Naza Ria yang diparkir di hadapan rumah dan tembok rumah di taman berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Arshad, pemeriksaan lanjut pihaknya menemui tiga paket disyaki heroin dan sebilah sabit di dalam kereta yang dipandu suspek.
Katanya, suspek yang mengalami kecederaan serius dihantar ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan dan ditahan untuk siasatan lanjut.
“Ujian air kencing mendapati pemandu kereta itu positif dadah jenis syabu. Dia juga mempunyai 22 rekod jenayah berkaitan dadah dan jenayah selain turut dikehendaki polis,” katanya.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 39 (A)(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6 (1) Akta Barang Hakisan dan Senjata Berbahaya. – K! ONLINE










