KUALA LUMPUR 30 Okt. – Syarikat pemaju sebuah tapak projek komersial yang mempunyai tunggakan kompaun berjumlah RM650,000 disita dalam Op Tapak Siri 7 dan 8 di Jalan Pekeliling di sini.
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Azman Mahmood berkata, tindakan itu dibuat selepas pemaju didapati gagal mematuhi syarat keselamatan dengan membina struktur sementara di tapak berkenaan. “Sebelum ini DBKL telah mengeluarkan notis sebanyak 12 kali kepada pemaju namun tidak pernah dibayar sehingga jumlah kompaun meningkat kepada RM650,000. “Operasi turut dijalankan di sebuah tapak pembinaan di Sri Hartamas dan satu saman dikeluarkan kepada pemaju yang didapati tidak mendapat kelulusan membina ‘side office,” katanya dalam sidang akhbar selepas operasi itu hari ini. Tambahnya, notis kompaun di bawah Seksyen 70 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 itu dikeluarkan selepas pemeriksaan yang turut melibatkan anggota penguat kuasa daripada Jabatan Imigresen dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).- UTUSAN ONLINE.









