KUANTAN – Kementerian Luar dan badan-badan antarabangsa menggesa pegawai-pegawai tinggi tentera Myanmar yang dikenal pasti bertanggungjawab melakukan kekejaman terhadap etnik Rohingya dibawa ke muka pengadilan.
Ini merupakan salah satu langkah bagi membela nasib etnik berkenaan sekali gus memberikan penyelesaian terhadap konflik yang menghalang mereka untuk pulang ke Myanmar.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pelbagai langkah telah dibincangkan di peringkat ASEAN bagi menyelesaikan isu melanda etnik Rohingya.
Menurut beliau, antaranya ASEAN menyasarkan untuk menghantar pulang kira-kira sejuta etnik Islam Rohingya di Bangladesh ke Myanmar secara selamat bermula awal tahun depan.
“Pasukan khas menteri-menteri Luar ASEAN yang diketuai Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan akan berada di Myanmar hujung bulan ini bagi membincangkan dengan terperinci kaedah paling cepat dan selamat untuk membawa mereka pulang.
“Bantuan untuk menghantar mereka pulang adalah wajar dan perlu disegerakan memandangkan usaha yang sama pernah dilaksanakan sebelum ini telah tergendala,” katanya selepas merasmikan Bengkel Pemerkasaan Profesinalisme Guru-guru Bahasa Melayu Daerah Kuantan di Perbadanan Perpustakaan Awam negeri di sini hari ini.
Tambah beliau, pihaknya berharap usaha membawa pulang sejuta pelarian Rohingya itu dapat dilakukan seawal selepas musim banjir di negara ini.
Jelasnya, meskipun jumlah berkenaan agak mustahil untuk dilaksanakan segera, pelaksanaannya perlu dimulakan terlebih dahulu bagi memastikan usaha tersebut terlaksana.
“Selaju mana proses berkenaan dapat dilaksanakan itu perkara kedua, yang paling penting selagi tidak mula bantu mereka pulang selagi itu masalah ini tidak akan selesai,”ujarnya – K! ONLINE










