Pelancong Muslim belanja RM736 bilion - Utusan Malaysia

Pelancong Muslim belanja RM736 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Perbelanjaan perjalanan dalam talian oleh generasi Z dan golongan Muslim milenia dijangka mencecah AS$180 bilion (RM736 bilion) menjelang 2026, menurut Laporan Perjalanan Digital Muslim Mastercard-CrescentRating 2018 (DMTR2018).

Pada 2017, dianggarkan 131 juta pengunjung Islam melancong di peringkat global, menurut laporan DMTR2018.

K. DEVESH
K. DEVESH 

Naib Presiden Pembangunan Pasaran Mastercard, K. Devesh berkata, pasaran untuk perjalanan halal merupakan antara segmen yang paling pantas berkembang dengan ketibaan pelancong Muslim mewakili kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan industri pada 2017.

“Pelancong Muslim menghabiskan lebih banyak masa dalam talian bagi mencari dan membandingkan maklumat sebelum membuat keputusan akhir untuk membayar pakej pilihan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CrescentRating dan HalalTrip, Fazal Bahardeen berkata, selain potensi pasaran laporan itu juga memberikan gambaran tentang tingkah laku dan pilihan yang digemari oleh pelancong Muslim.

Menurutnya, destinasi dan pengusaha pelancongan, syarikat penerbangan dan sektor perhotelan dapat melihat potensi pasaran Muslim dalam perspektif yang berbeza terutama menerusi platform internet dan media sosial.

“Perkembangan pesat tek­nologi dalam talian, kaedah pembayaran serta peningkatan celik digital dalam kalangan pelancong Muslim menawarkan prospek masa depan yang positif.

“Segala maklumat yang mahu disampaikan kepada kumpulan ini harus mengambil kira saluran dalam talian kerana ia menyumbang kepada capaian yang lebih luas dan jauh tanpa dibatasi faktor demografi,” jelasnya.

Laporan DMTR2018 turut mendedahkan pelancong Muslim yang menggunakan laman web dan perisian dapat me­rancang dengan lebih baik dan merasai pengalaman melancong yang lebih menyeronokkan.

Sementara itu, golongan muda mendominasi penggunaan teknologi berbanding ge­nerasi lain manakala penggunaan media sosial pula adalah untuk memastikan mereka terus berhubung bagi berkongsi pe­ngalaman bersama keluarga dan rakan-rakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN