KENINGAU – Mayat seorang pelajar lelaki tingkatan empat yang dihanyutkan arus deras semalam gagal dibawa naik ke permukaan selepas tersekat pada bahagian kayu dan batu di dasar Sungai Talangkai Sepulut di sini.
Mangsa, Benly Udin, 16, dilaporkan lemas kira-kira pukul 11 pagi dipercayai dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama rakan-rakannya di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Ahmad Jawila berkata, mayat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sepulut di sini itu ditemui kira-kira 150 meter dari lokasinya dikatakan hilang.
“Sebelum insiden, remaja yang menetap di asrama sekolah sama memohon kebenaran daripada guru bertugas untuk keluar ke gereja.
“Bagaimanapun, mangsa ke sungai bersama rakan-rakannya untuk beriadah sebelum dihanyutkan arus deras dan gagal diselamatkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jawila berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudiannya digerakkan dan mayat mangsa berjaya ditemui pada hari yang sama.
“Bagaimanapun, proses untuk mengeluarkan mangsa masih gagal dan akan diteruskan,” jelasnya.
Tambah Ahmad, operasi SAR terpaksa dihentikan selepas hari semakin gelap dan akan disambung semula. – K! ONLINE










