MATTHEWS, Carolina Utara – Insiden bertumbuk antara dua pelajar sekolah tinggi di negeri Carolina Utara berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka mengeluarkan sepucuk pistol dan menembak rakan sekolahnya sebelum kelas bermula, kata pihak berkuasa.
Penembak dikenali sebagai Jatwan Cuffie, 16, dan merupakan pelajar Sekolah Tinggi David W. Butler di sini, tenggara bandar Charlotte.
Dia menyerah diri kepada pengawal keselamatan sekolah dan didakwa kerana membunuh dengan niat berhubung insiden tembakan itu yang meragut nyawa Bobby McKeithen, 16, kata polis.
Ketua Jabatan Polis Matthews, Kapten Stason Tyrrell berkata, Cuffie menembak McKeithen selepas mereka bergaduh sejurus sebelum kelas bermula sekitar pukul 7.15 pagi (waktu tempatan).
Sekolah itu dikepung untuk seketika. McKeithen dihantar ke Pusat Perubatan Carolinas di Charlotte di mana dia menghembuskan nafas terakhir beberapa jam kemudian.
Para pelajar kemudian dibenarkan menemui ibu bapa mereka yang berhimpun di luar sekolah, manakala pasukan polis menyoal saksi-saksi dan mengumpulkan bukti di lokasi kejadian.
“Kamera litar tertutup menunjukkan dua pelajar itu bertumbuk sebelum insiden tembakan berlaku,” kata Tyrrell. – Reuters










