SIBU – Seorang pekerja kilang wanita maut apabila motosikal dinaiki bersama suaminya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Jalan Salim-Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 6.15 pagi itu, mangsa yang dikenali Latipah @ Hatipah Aleng, 59, sedang membonceng motosikal ditunggangi suaminya berusia 69 tahun.
Kemalangan dikatakan berlaku apabila sebuah lori dari arah Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce menuju ke Jalan Teku, berlanggar dengan motosikal dinaiki pasangan suami isteri itu yang dalam perjalanan dari arah Jalan Salim menuju ke Ulu Lanang.
Ketua Jabatan Siasatan Trafik dan Penguatkuasaan Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, akibat perlanggaran tersebut, pembonceng motosikal itu maut di tempat kejadian manakala suami mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan. – Bernama











