SELAMA – Sekumpulan kakitangan di sebuah syarikat perladangan cemas selepas pejabat mereka dimasuki seekor ular tedung selar sepanjang hampir dua meter tengah hari tadi.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Selama, Sulaiman Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pekerja di syarikat itu kira-kira pukul 12.29 tengah hari sebelum enam anggota bergegas ke lokasi kejadian.
Jelasnya, sewaktu tiba di lokasi, ular tersebut berada di sekitar ruang pejabat itu dan gerak-gerinya kelihatan agresif.
“Ular tersebut cuba melarikan diri dengan menjalar ke bahagian rak di ruang pejabat sewaktu anggota bomba cuba menanggkapnya.
“Kita menggunakan peralatan khas untuk menangkap reptilia itu sebelum berjaya memerangkapnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Menurut Sulaiman, reptilia itu kemudiannya diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) daerah untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, operasi tersebut tamat pada pukul 12.59 tengahari tadi. – K! ONLINE










