KUALA LUMPUR 30 Okt. – Seorang pekerja warga Bangladesh maut dipercayai tergelincir dari tingkat 13 semasa melakukan kerja mengecat bangunan di Pangsapuri Desa Tun Razak, Sungai Besi di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, mangsa yang berusia 37 tahun berada di ‘sky lif’ untuk mengecat bangunan kediaman itu dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang.
Menurutnya, mangsa bagaimanapun tergelincir dan terjatuh sebelum disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala, kaki serta tangan.
“Mangsa bersama rakan sekerjanya sedang mengecat bangunan tersebut pada waktu kejadian. Menurut saksi, mangsa telah tergelincir dan terjatuh dari ketinggian 13 tingkat.
“Pasukan perubatan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) mengesahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat kemudian dihantar ke pusat perubatan tersebut untuk bedah siasat,” katanya di sini, hari ini.
Mohamed Mokhsein menambah, siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu dan
kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – UTUSAN ONLINE









