Pekarangan luar Stadium Shah Alam dilanda banjir kilat - Utusan Malaysia

Pekarangan luar Stadium Shah Alam dilanda banjir kilat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Kawasan sekitar Stadium Shah Alam, Seksyen 13, di sini dinaiki air sedalam 0.3 meter ekoran hujan lebat selama hampir dua jam yang bermula kira-kira pukul 2.30 petang tadi.

Jurucakap Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor berkata, pemantauan pihaknya mendapati  banjir kilat berlaku kira-kira pukul 4 petang dan antara kawasan dinaiki air adalah sekitar Terminal Bas Sementara Shah Alam dan tempat letak kereta berdekatan kawasan terbabit.

“Banjir kilat ini berpunca daripada sistem perparitan dalaman yang tidak mampu mengalirkan air ke Sungai Damansara berikutan hujan lebat.

“Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor akan terus memantau dan membuat tindakan susulan berhubung kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian banjir kilat terbabit.

Namun, mereka telah menempatkan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam di Stadium terbabit bagi persediaan menghadapi sebarang kemungkinan termasuk kebakaran.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad ketika dihubungi berkata, banjir kilat itu berlaku selepas hujan lebat hampir dua jam yang bermula kira-kira pukul 2.30 petang.

“Bagaimanapun banjir kilat berkenaan telah surut dan kawasan letak kereta yang sebelum ini digenangi air juga telah pulih. Skuad Pantas MBSA juga telah dihantar untuk memantau lokasi berkenaan,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN