GAZA/BAITULMUQADDIS 27 Okt. – Kumpulan pejuang Jihad Islam Palestin yang melancarkan serangan terhadap Israel dari Semenanjung Gaza menegaskan akan mematuhi gencatan senjata jika Israel melakukan tindakan yang sama.
Kumpulan itu yang merupakan antara kumpulan bersenjata yang bergerak di Gaza mengaku melancarkan serangan roket sebagai tindak balas terhadap tentera Israel yang membunuh empat penduduk Palestin berhampiran sempadan semalam.
Israel melancarkan serangan balas dengan menyasarkan beberapa kawasan di Semenanjung Gaza hari ini.
Jurucakap kumpulan itu, Daoud Shebab berkata, rundingan gencatan senjata melalui perantara Mesir telah dicapai.
“Selepas pemimpin Jihad Islam Palestin menghubungi rakan kami di Mesir, kami bersetuju untuk melakukan gencatan senjata komprehensif serta merta namun kami hanya akan mematuhinya jika Israel melakukan perkara sama,’’ katanya.
Terdahulu, jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Jonathan Conricus menuduh Syria dan Iran terlibat dalam serangan rokte ke Israel.
“Arahan dan insentif telah diberi dari Damsyik dengan penglibatan jelas pasukan Pengawal Revolusi Iran al-Quds,’’ katanya. – Reuters










