KLANG 26 Okt. – Seorang pejalan kaki maut selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan di Jalan Batu Unjur, Bandar Bukit Tinggi, dekat sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, Umar Abdullah,38, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di belakang badan.
Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Klang Selatan, Deputi Superintenden Md. Dom Dollah berkata, ketika kejadian, mangsa sedang melintas ke seberang jalan, namun dilanggar kereta jenis Honda Civic dipandu seorang lelaki dari arah Bukit Tinggi menghala ke Klang.
“Akibat perlanggaran, mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah di belakang badan serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kita tidak menolak kemungkinan kereta dipandu dalam keadaan agak laju berdasarkan kerosakan di bahagian hadapan kereta,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.
Tambahnya, bedah siasat akan dilakukan hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN ONLINE









