SINGAPURA – Disahkan rakyat Malaysia Prabu N. Pathmanathan telah dihukum gantung di penjara Changi pada waktu Subuh hari ini bagi kesalahan menyeludup dadah, menurut N. Surendran, peguam mewakili keluarga lelaki itu.
“Keluarga telah menuntut mayatnya dan upacara pembakaran mayat akan diadakan hari ini,” kata penasihat Lawyers for Liberty itu dalam kenyataan yang dihantar kepada Bernama di sini, yang turut disertakan dengan foto terkini Prabu.
Peguam itu berkata lewat malam tadi, Pejabat Presiden Singapura menghantar surat kepada keluarga Prabu bagi menjawab petisyen pengampunan yang dikemukakan mereka.
Surat itu menyatakan “proses pengampunan telah dimuktamadkan” dan “kami tidak dapat memenuhi permintaan anda”, katanya.
Surendran berkata, ibu bapa dan adik beradik Prabu mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan semua orang di pihak kedua-dua negara atas sokongan dan doa mereka dalam tempoh beberapa hari lepas yang sukar. – Bernama










