SHAH ALAM – Seorang pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara) daerah Klang dekat sini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah bernilai RM35,000, lima tahun lalu.
Tertuduh, Azizah Hashim, 50, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suapan bernilai RM35,000 daripada seorang lelaki sebagai upah untuk menyokong proses permohonan pembiayaan bagi syarikat 99 Motor World Sdn. Bhd kepada Mara Selangor.
Kesalahan tersebut dilakukan di dalam sebuah kenderaan jenis Proton Satria Neo di hadapan sebuah restoran di Seksyen 7 di sini pukul 10 malam pada sekitar April 2013.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.
Selain itu, tertuduh juga sebelum ini pernah didakwa atas kesalahan sama dengan nilai suapan bernilai RM20,000.
Tertuduh kini telah dipindahkan ke Ibu Pejabat Mara, Kuala Lumpur.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Amer Abu Bakar Abdullah menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, Peguam Avtar Singh Dhaliwal mewakili tertuduh memohon wang ikat jamin dikurangkan kepada RM5,000 selain mangsa perlu menanggung ibunya yang berusia 76 tahun.
“Anak guam saya juga belum berkahwin dan mempunyai empat adik-beradik selain mengalami penyakit slipped disc yang teruk,” katanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dengan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 12 November depan.
Tertuduh membayar wang ikat jamin tersebut. – K!ONLINE











